KUATKAN PENDIRIAN DALAM MENJUAL

images

Tiga kali Rasulullah SAW didatangi oleh pembesar-pembesar Quraisy untuk memujuk baginda dengan menawarkan pelbagai ganjaran dan habuan kepada nya. Tidak kiralah sama ada harta kekayaan,  kemuliaan, menjadi raja ataupun mencari tabib yang terbaik untuk memulihkan baginda namun ditolak begitu sahaja oleh Rasulullah. Betapa kuatnya pegangan dan pendirian Rasulullah walaupun disogokkan dengan pelbagai kemewahan dan kehebatan dunia namun semuanya bagi baginda tidak penting dan bukan menjadi tujuan utama baginda untuk meneruskan dakwahnya.

Bermula dari pakcik Rasulullah sendiri Utbah Bin Rabiah sebagai kedatangan pertama yang menawarkan pelbagai bentuk habuan dan ganjaran diikuti pula oleh Al-Walid Bin Al-Mughirah dan Al-Ash bin Wail sehinggalah kedatangan beramai-ramai pembesar Quraisy menemui baginda menawarkan pelbagai kehebatan dunia namun jawapan yang diterima masih tetap sama. Pujukan mereka semua agar tidak menyebarkan Agama baru yang dianuti oleh Rasulullah.

Lantas Rasulullah menjawab dengan katanya ‘Sebenarnya aku ini tidak ada kena mengena dengan apa yang kamu suarakan tadi. Segala apa yang aku bawa ini bukan dengan bertujuan mencari harta kekayaan dan pangkat dan kekuasaan, tetapi Tuhan telah mengutus kan aku untuk kamu sekalian di samping itu diturunkan Kitab Suci kepada aku. Tuhan telah menyuruh aku menyampaikan berita yang menakutkan dan menggembirakan, kewajipan semata-mata menyampaikan apa yang telah dipertanggungjawabkan ke atas ku. Sekiranya kamu terima maka itu adalah tidak ada lain hanya bersabarlah sahaja sehingga Tuhan menjatuhkan hukuman Nya di antara aku dan kamu sekalian’.

Begitulah hebatnya Rasulullah SAW. Memang kuat pendiriannya sehingga tiada siapa mampu untuk memujuk dan menggoncangkan keimanan yang ada dalam diri nya. Biarlah badai melanda mahupun diugut untuk dibunuh sekalipun baginda tetap berpegang dengan apa yang disampaikan dan didakwahkan kepada penduduk-penduduk di Mekah tanpa mengira kekuasaan, kekayaan, jawatan, bangsa dan taraf kehidupan. Semuanya dilakukan hanya untuk Allah SWT semata-mata tanpa berkehendakkan sebarang imbuhan ataupun ganjaran.

Satu perjalanan pengalaman Rasulullah yang patut sama sekali kita contohi dan ikuti dalam melakukan apa juga yang telah kita perkatakan bila melakukan kebaikan. Jangan dihiraukan apa orang lain perkatakan sama ada pujian, desakan, bangkangan, cemuhan, penghinaan dan bantahan. Semuanya kena kukuh pada pendirian yang ada. Selagi boleh bersabar, tenang dan berjiwa kental apa juga yang mendatang pasti boleh dihadapi.

Rasulullah SAW bersabda ‘Janganlah kamu menjadi orang yang ‘ikut-ikutan’ dengan mengatakan ‘Kalau orang lain berbuat kebaikan, kami pun akan berbuat baik dan kalau mereka berbuat zalim kami pun akan berbuat zalim’. Tetapi teguhkanlah diri mu dengan berprinsip, ‘Kalau orang lain berbuat kebaikan kami berbuat kebaikan pula dan kalau orang lain berbuat kejahatan kami tidak akan melakukannya’ (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Kuatkanlah pendirian kita dalam melakukan jualan. Baru pelanggan belit sedikit sudah pening kepala dan mudah menerima apa yang mereka perkatakan. Jangan mudah lembik hati dan pegangan. Kena berprinsip dalam melakukannya. Biarlah orang lain nak kata apa sekalipun selagi kuat pendirian dan prinsip kita selagi itulah walaupun ombak datang melanda namun masih tetap kita laluinya dengan begitu baik dan mudah sama sekali.

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL 1438H.

 

140 total views, 1 views today

Jom beritahu kawan-kawan

Speak Your Mind

*