ELAKKAN DIRI MENJADI BANGSAT

Pengalaman seorang juru jual yang perlu kita
ketahui untuk diambil iktibar dan pengajaran yang berguna kepada kita. Benarlah
kata pepatah yang berbunyi masuk kandang kambing mengembek masuk kandang
harimau mengaum. Kena pandai dan kena tahu sesuai diri apabila berada di sesuatu
tempat apabila berkomunikasi. Jangan ambil mudah dan senang tapi ketahui dahulu
keadaan lokasi yang mahu kita terokai. Ambil tindakan terbaik agar apa yang
mereka perkatakan kita tetap memahaminya agar apa juga yang kita tawarkan boleh
diterima oleh siapa pun juga.
Petikan dari Sinar Harian bertarikh 22hb
November 2013.
Janganlah
panggil saya bangsat!
MUHAMAD
MAT YAKIM
22
November 2013
LEPAS tamat sekolah, saya jadi juru jual di Perak. Mula
sampai di Kuala Kangsar, saya terasa diperlekehkan. Ini berlaku apabila seorang
pakcik berkali-kali kata “awak tak tahu…” kepada saya. Saya
menyangka dia merendahkan saya. Rupa-rupanya ‘awak’ adalah ganti ‘saya’ bagi
orang Perak.

Demikian juga di Parit apabila saya akhirnya terpaksa menjawab “kenai
makcik, takkan tak kenai, kipas” setelah seorang makcik tanya sama ada
saya ‘kenai’ kipas angin yang dihalakan kepada saya.

Setelah diberitahu suaminya yang tertawa besar mendengar kata-kata saya,
barulah saya sedar rupanya makcik itu bertanya sama ada saya kena atau tidak
angin kipas itu. Kena atau ‘keney’ dalam sebutan orang Parit yang bunyinya
seakan ‘kenai’ mengikut dialek Kedah, mencetuskan salah faham saya.

Itu belum lagi cerita orang Kuala Kangsar masuk kedai lampu dan bertanya
“lampu ade idak, ade idak, ade?” Mujur semasa jadi jurujual di Kuala
Kangsar, saya tidak ditugaskan menjual lampu. Jika tidak, bergolek berguling
pun pasti saya tidak faham pertanyaan itu. Rupa-rupanya pelanggan itu mahu beli
lampu lip lap.

Tidak lama dulu, saya bawa seorang kawan dari Kuala Pilah berjumpa seorang
ustaz. Kebetulan si ustaz kawan rapat kepada abang saudara saya yang dipanggil
Tat. Kata ustaz itu “Tat dulu dok mampuih kut rumah kami la…”
Terkebil-kebil kawan saya mendengar kata-katanya.

Keluar dari pejabat ustaz itu, dia langsung bertanya mengenai ‘mampuih’. Saya
jelaskan, ‘mampuih’ dalam konteks cerita ustaz itu mengenai hubungan dia dengan
abang saudara saya yang sangat mesra. Ini digambarkan melalui kata-katanya
‘mampuih’ yang bermaksud Tat selalu tidur atau bermalam di rumahnya. Kata kawan
saya, dia sangka Tat selalu kena belasah sampai setengah mati oleh ustaz itu!

Ya, memang banyak istilah sama tetapi berlainan maksud mengikut dialek antara
negeri kita. Beberapa tahun lepas, saya sendiri terkebil-kebil menonton satu
adegan dalam filem Hantu Kak Limah yang berpunca masalah dialek. Apabila dengar
Pak Abu menyebut hantu kopek seiring dengan kemunculan suatu objek yang bertali
arus daripada seorang wanita, saya tertanya-tanya “penumbuk apa yang
banyak sangat ni?”

Rupa-rupanya apa yang saya sangka penumbuk itu buah dada, dan itulah ‘kopek’
bagi orang Pantai Timur. Kopek di tempat saya bermaksud dompet.

Selain kopek, ‘teriak’ juga bawa makna yang berbeza mengikut negeri. Sebagai
contoh, seseorang bercerita kepada rakannya: “Kami tiap-tiap pagi raya,
masa bersalam dengan mak abah kami, kami mesti teriak …”

Tentulah kawan dari Johor itu naik hairan. Mana tidaknya, teriak dalam bahasa
Johor maksudnya menjerit sedangkan bagi orang Kedah, menangis. Apa pasal pula
kena menjerit, minta maaf dengan suara perlahan, penuh keinsafan tak bolehkah?

Satu hal lagi, apabila sampai di tempat orang, jangan memandai-mandai buat
kesimpulan sendiri mengenai istilah atau dialek di tempat itu. Contohnya,
memang banyak istilah dalam dialek utara yang belakangnya huruf ‘r’ diganti
dengan ‘q’. Atau jangan pula asal kelapa sembarangan ditukar kepada ‘nyoq’. Di
utara, kelapa sawit tetap dipanggil kelapa sawit, jangan pula orang negeri lain
pergi sana sebut ‘nyoq sawit’.

Adapun satu kisah ini boleh dijadikan contoh. Dalam satu majlis kenduri di
Kedah, seorang tetamu yang sudah sekian lama teringin nak makan acar limau
orang utara, sampai sahaja terus bertanya kepada tuan rumah, ‘ayaq acaq
ada?”

‘Acaq’ mengikut dialek utara bukan acar tetapi kumbahan atau air basuhan yang
kotor. Acar sebaliknya disebut ‘acat’. Begitu juga orang utara yang baru
berhijrah ke KL, jangan segera nak jadi orang KL, ajak kawan pergi main ‘bole
kat Kote Damansare’. Anak KL jati pun sebut ‘bola’ dan ‘Kota Damansara’!

Satu lagi untuk kita jadikan iktibar apa yang berlaku di sebuah surau di Kedah.
Setelah beberapa minit masuk waktu, pak bilal atau muazzin tidak juga muncul,
yang ada hanya imam dengan seorang musafir, maka si imam pun minta tolong
kepada si musafir untuk azan dengan kata-kata “minta tolong bang
sat…”

Merah padam muka si musafir, “saya tahu saya orang luar tapi janganlah
panggil saya bangsat!”

Sumber
: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/muhamad-mat-yakim/janganlah-panggil-saya-bangsat-1.223262

189 total views, 3 views today

Jom beritahu kawan-kawan

Comments

  1. alhamdulillah, moga jadi manfaat bersama

Speak Your Mind

*